
Kualiti jam digital tracker KKM ‘cap ayam’, tak sampai sehari pakai tercabut sendiri.Pelakon dan pelawak terkenal Azad Jasmin John Louis Jeffri, 45, mempersoalkan kualiti peranti pengesan digital walaupun baru sahaja memakainya untuk tempoh kurang dari 24 jam.
Difahamkan, Azad bersama isterinya Syazira Shuhaimi, 37, yang sedang menjalani kuarantin kerana baru pulang dari Mekah perlu memakai alat tersebut sehingga tempoh yang ditetapkan.
Melalui video yang dimuat naik di laman sosial miliknya, Azad memberitahu, walaupun baru sehari memakai alat itu tetapi ia telah terbuka daripada tangannya secara tiba-tiba.
Azad dilihat turut menyeru Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bagi menyelesaikan perkara tersebut.
“Assalamuaikum YB Khairy Jamaluddin, ‘idea’ bagus tapi yang tak bagus, kenapa tercabut ni? beli dekat Shopee ke?
Tangkap layar Azad menunjukkan peranti pengesan yang dipakai olehnya sudah terbuka.
“Kalau berikan alat ini pada 30,000 orang dan boleh tercabut macam ni, lepastu mereka gantung di leher lembu, leher keldai, merebak juga kan?
“Apa benda ni YB? Nasib baik saya selebriti sebab kalau saya keluar, orang kenal. Yang orang tak kenal, cabut sahaja boleh keluar berjumpa orang lain dan pergi kemana-mana,” katanya.
Dalam pada itu, Azad turut menyarankan agar kerajaan menggunakan alat yang lebih berkualiti supaya ia dapat digunakan dengan lebih baik dan berkesan.
Individu pulang umrah wajib pakai gelang peranti pengesanan digital, kata KJ
PETALING JAYA: Individu yang menjalani tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari selepas pulang daripada menunaikan umrah diwajibkan memakai gelang peranti pengesanan digital bermula minggu depan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pelaksanaan itu dibuat berikutan terdapat 30 daripada 49 varian baharu, Omicron di Malaysia yang dikesan antara 23 dan 24 Dis merupakan kes import dari Arab Saudi.
“Kami dapati semua mereka yang tiba dari Arab Saudi bermula 13 hingga 17 Dis lalu tidak mematuhi arahan pengasingan dengan ahli keluarga. Mereka berjumpa sesama mereka (ahli keluarga) dan menerima tetamu.
“Mungkin tetamu atau ahli keluarga datang menziarahi untuk bersalam ambil berkat tetapi ‘salam Omicron’,” katanya dipetik Bernama, pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.
Khairy berkata, kegagalan mematuhi arahan kuarantin berpontensi mengakibatkan peningkatan penularan jangkitan varian tersebut dalam negara.
“Saya harap perkara ini (arahan kuarantin) dipatuhi. Ini adalah serius dan kami bagi kemudahan untuk kuarantin di rumah untuk jimatkan kos, tidak perlu tinggal di hotel, jadi kena patuh,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini terdapat 62 kes varian Omicron direkodkan di negara ini yang terdiri daripada 61 kes import dan satu kes dipercayai kes tempatan.
Susulan situasi tersebut, Khairy berkata, Malaysia akan memasukkan Arab Saudi dalam senarai negara berisiko tinggi bersama sembilan negara lain iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat, Denmark, Australia, Perancis, Norway, Kanada, India dan Nigeria.
Memperincikan perkara itu, Khairy berkata, kerajaan amat menggalakkan individu yang berhasrat melakukan perjalanan ke luar negara supaya mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19.
Sumber: kosmo
Leave a Reply